Keyakinan Rakyat Terhadap NDP Meningkat
Presiden NDP, Bapak Yasin Affandy menyentuh mengenai perkara ini dalam ucapan perasmian beliau sempena penubuhan Cabang NDP Seria dan Cabang NDP Kuala Belait pada 26hb November lalu.
Majlis perasmian kedua-dua cabang yang diselajurkan dengan Majlis Taklimat Kefahaman Perlembagaan Parti Pembangunan bangsa itu telah berlangsung di Dewan Serbaguna Kampong Pandan. Hampir 300 orang termasuk ahli-ahli parti turut hadir dimajlis tersebut.
Awang Yasin Affandy dalam ucapan beliau menyifatkan penubuhan cabang-cabang NDP di daerah itu dan sambutan yang menggalakkan ditunjukkan oleh penduduk-penduduk daerah ini kepada NDP seperti melontarkan kenangan beliau kezaman silamnya yang pernah berkelana di daerah ini sebagai seorang pegawai kanan Shell dan seorang aktivis sosial lebih 50 tahun dahulu.
“Saya melihat penubuhan cabang-cabang NDP baru di daerah ini sebagai satu petanda baik bahawa benih-benih semangat perjuangan yang tulus Insyallah tetap utuh dan subur dalam diri kita, sebagai bangsa Melayu Brunei dan rakyat Brunei, yang berdaulat, bermaruah dan berani maju kehadapan untuk menanai hasrat Kebawah DYMM agar seluruh rakyat berperanan mengisikan kemerdekaan, dan memelihara kedaulatan negara, bangsa, agama dan raja.
Ianya juga merupakan petanda baik bagi Parti Pembangunan Bangsa yang baru kita tubuhkan ini, tambah beliau.
Katanya jika Parti Pembangunan Bangsa ini diumpamakan sebagai sebuah ladang, maka sudah jelas ladang ini sudah dapat diterima sebagai sebuah ladang yang sesuai untuk menyatupadukan dan menyemai ‘benih-benih’ semangat nationalisma dan patriotisma yang tinggi.
Harapan kita, tambahnya, agar benih-benih ini akan tumbuh subur dan membesar, hingga mampu menjadi benteng yang kuat, yang dapat melindungi raja kita yang dikasihi iaitu Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah dan zuriat-zuriat Baginda, negara dan bangsa dari anasir-anasir jahat yang boleh memusnahkan masa hadapan kita, yang boleh memesongkan kita dari mencapai misi dan visi kita untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu, Islam, Beraja, yang aman makmur dan sentiasa mendapat keampunan Allah.
“Apa yang saya harapkan, agar kita semua, akan terus sama-sama memelihara ‘ladang’ yang subur yang bernama Parti Pembangunan Bangsa ini”.
Katanya keyakinan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan penduduk di negara ini terhadap potensi NDP, sebagai sebuah parti politik dan landasan untuk kita mencapai kejayaan dalam mengisi dan menanai kemerdekaan yang telah kita sama-sama nikmati selama lebih 20 tahun ini, jaganlah dicuai-cuaikan.
“Dalam erti kata lain, kita wajiblah terus mengerakkan jentera-jentera NDP ini dengan baik nya, agar boleh memberikan keyakinan berterusan kepada masyarakat umum bahawa Parti Pembangunan adalah sebuah parti politik yang serious, parti politik pilihan yang berwibawa, yang mampu meyatupadukan semangat patriotik rakyat dan penduduk, dan yang mampu menyalurkan semangat bersepadu ini kearah usaha membangun bangsa dan negara”.
“Untuk mencapai matlamat ini, NDP sebagai sebuah platform politik rakyat, haruslah dipelihara terus dengan baik nya agar tidak dijangkiti oleh gejala-gejala yang kurang sihat seperti persengketaan, perlumbaan mengejar kedudukan, tidak jujur dan amanah. Pokoknya kita semua wajiblah menjaga Disiplin dalam menjelamai Parti Pembangunan Bangsa”.
“Kita wajiblah terus menjaga disiplin sebagai ahli-ahli dan anggota-anggota pengerak NDP”, tambahnya lagi.
Keikhlasan, kejujuran dan komitmen yang tinggi dan beristiqamah dalam perjuangan, kata Yasin Affandy, sangat penting dalam usaha memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap Parti Pembangunan Bangsa, sebagai landasan yang kukuh bagi rakyat untuk menjadi rakan strategik kepada Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Kerajaan baginda dalam usaha membangun bangsa dan negara.
Beliau dalam ucapan nya menyeru kepada semua ahli-ahli NDP agar sama-sama memelihara dan memperkukuhkan Partai Pembangunan Bangsa ini dengan baik nya.
“Kegagalan kita mengunakan landasan politik ini dengan baiknya bererti terlepaslah peluang untuk kita membuktikan, bahawa kita sememang nya sudah matang dan siap siaga untuk memainkan peranan politik kita, dan memboktikan ‘political will’ kita yang kukuh bagi mengisikan kemerdekaan ini, dan mencapai misi dan visi kita untuk “memastikan Negara Brunei Darussalam akan selama-lamanya menjadi negara Melayu, Islam, Beraja, yang aman makmur dan sentiasa medapat keampunan Allah Subhanahu Wataa’ala”, tegas beliau lagi.



